Wednesday 25 May 2011

Hati : Raja dalam diri

HATI yang sakit perlu diubati..
Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :

"Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam perkara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkanNya.

dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati."

Itulah perihal hati, raja kepada sebatang jasad. Memang tidak dinafikan menjaga hati sememangnya sukar dan perlukan mujahadah dan istiqamah yang tinggi. Hal ini telahpun diperakui oleh seorang ulama' dunia, Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqh Al-Aulawiyyat, yang menyatakan bahawa amalan hati itu lebih adfhal (utama) berbanding amalan zahir. Kenyataan ini bukanlah bermakna tidak perlu melaksanakan amalan zahir, tetapi kenyataan ini membawa makna bahawa amalan hati perlulah didahului dalam setiap amalan zahir. 
Dalam erti kata yang lain, hati yang ikhlas dan tulus murni perlulah mendahului setiap amalan dan tingkah laku kita seharian. Tidaklah berguna sesuatu amalan itu jika niatnya bukanlah kerana Allah, sepertimana tidaklah bermanfaat sebiji buah yang luaran kelihatan begitu segar dan menarik tetapi isi di dalamnya telah rosak dengan begitu teruk sekali. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi S.A.W. : 

Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Setiap amalan itu adalah bergantung kepada niat, dan bagi setiap manusia itu apa balasan bagi perkara yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia perolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia niat kerananya."

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa Qalb(hati) memainkan peranan yang amat besar dalam amal ibadah dan tingkah laku kita seharian. Maka beruntung seseorang itu sekiranya dia berjaya menjaga hatinya dalam setiap amalan yang dilakukannya, dan rugilah seseorang itu apabila hatinya rosak teruk dek maksiat dan kemungkaran yang dilakukannya dalam keadaan sedar atau lalai. Peliharalah hatimu ~ 

Doa' buat HATI..

No comments:

Post a Comment

 
;